Tadabbur Ayat Solat
Surah Al-An’am ayat 72 (Halaman 136)
Tajuk: Solat Kunci Syurga
Surah Al-An’am (6:72)
وَأَنْ أَقِيمُوا۟ ٱلصَّلَوٰةَ وَٱتَّقُوهُ ۚ وَهُوَ ٱلَّذِىٓ إِلَيْهِ تُحْشَرُونَ ٧٢
Dan (diperintahkan): Hendaklah kamu mengerjakan sembahyang dan bertaqwa kepadaNya, dan Dia lah Tuhan yang kepadaNya kamu akan dihimpunkan (pada hari akhirat kelak).
Keterangan Ayat
Surah Makkiyyah.
Al-An’am bermaksud binatang ternakan.
Tema surah Al-An’am: Yakin dan Esakan Allah.
Dimulakan dengan pujian terhadap Allah yang mencipta tujuh petala langit dan tujuh petala bumi. Kemudian menjadikan pula malam itu gelap dan siang itu terang. Namun demikian, orang kafir tetap menolak dari beriman dengan Allah.
Diakhiri dengan perakuan, Allah juga yang melantik manusia menjadi khalifah di bumi ini. Kemudian menaikkan darjat seseorang itu melebihi antara satu sama lain untuk menduga, siapa yang menjalankan amanah tersebut dengan jujur dan ikhlas.
Ayat 72 adalah sambungan daripada ayat 70-71.
Dalam ayat 70, Allah SWT perintahkan Nabi SAW supaya jauhkan diri daripada mereka yang suka menjadikan seruan Rasul dan al-Quran itu sebagai bahan mainan dan sendaan, kerana mereka telah tenggelam dalam nikmat hidup keduniaan.
Allah perintah supaya peringatkan mereka dengan al-Quran, supaya tidak terjerumus ke neraka di akhirat nanti. Masa itu tiada siapa yang boleh memberikan lagi syafaat untuk mereka. Jika mereka cuba menebus diri di sana nanti, Allah tidak akan terima. Mereka hanya disediakan minuman air panas sedang menggelegak. Kemudian menerima azab yang tidak terperi sakitnya. Itulah balasan yang layak untuk mereka yang kafir.
Dalam ayat 71, Allah SWT perintahkan Nabi SAW supaya tanya kepada orang kafir, “Adakah kita wajar minta pertolongan dari Tuhan yang tidak boleh memberikan manfaat atau mudarat kepada kita dan sedia menjadi kafir semula selepas diberi petunjuk?”
Mereka ini, sama seperti orang yang dirasuk syaitan teraba-raba di tengah padang pasir tanpa penghuni. Sedangkan mereka di dunia dulu, telah diberikan nasihat ke arah jalan yang benar. Ingatlah, petunjuk yang sebenarnya ialah petunjuk Allah, bukan petunjuk syaitan. Kita disuruh menyerahkan diri kepada Tuhan seru sekalian alam.
Pada ayat 72, Allah SWT memerintahkan kita supaya teruskan mendirikan solat dan bertaqwa kepada Allah, Tuhan yang kepadaNya kita akan dihimpunkan pada hari akhirat.
وَأَنْ أَقِيمُوا۟ ٱلصَّلَوٰةَ - Hendaklah kamu mengerjakan sembahyang
Rukun Islam ada 5 tapi Allah sebut solat. Kenapa?
Sebab solat adalah amalan asas. Perbezaan antara kufur dan syirik ialah solat.
Menurut Imam Syafie, kalau tinggalkan solat dengan sengaja hukumnya adalah fasik. Kerajaan Islam kena tangkap orang tak solat, bagi amaran dan paksa dia solat, dan kalau tak solat juga kena bunuh.
Mazhab Hambali, kalau tak solat, kafir terus. Bila dia mati hartanya tidak boleh diwarisi oleh keluarga. Tak boleh diuruskan sebagai orang Islam. Sahabat sepakat kata kalau tak solat dengan sengaja, kafir.
Yang menandakan amalan lain betul, petunjuknya ialah solat. Puasa, Zakat, Haji tak diterima kalau tak solat.
Yang solat juga belum tentu diterima. Tanda solat diterima, lihat Surah Al-Ankabut (29:45).
ٱتْلُ مَآ أُوحِىَ إِلَيْكَ مِنَ ٱلْكِتَـٰبِ وَأَقِمِ ٱلصَّلَوٰةَ ۖ إِنَّ ٱلصَّلَوٰةَ تَنْهَىٰ عَنِ ٱلْفَحْشَآءِ وَٱلْمُنكَرِ ۗ وَلَذِكْرُ ٱللَّهِ أَكْبَرُ ۗ وَٱللَّهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ ٤٥
“Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Al-Quran, dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun); sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.”
ٱتْلُ – Baca dan ikut
Allah perintah baca dan ikut al-Quran dahulu.
Peringkat awal dakwah Nabi, al-Quran turun dulu. Perintah solat selepas 10-11 tahun Nabi SAW dakwah. Sepanjang 10 tahun Nabi bacakan al-Quran. Supaya kenal Allah yang disembah. Orang tak suka solat sebab tak kenal Allah.
Proses nak solat, kena kenal Tuhan dulu. Lihat Surah Al-Baqarah (2:3).
ٱلَّذِينَ يُؤْمِنُونَ بِٱلْغَيْبِ وَيُقِيمُونَ ٱلصَّلَوٰةَ وَمِمَّا رَزَقْنَـٰهُمْ يُنفِقُونَ ٣
“Iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib, dan mendirikan (mengerjakan) sembahyang serta membelanjakan (mendermakan) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka.”
Lepas itu Allah tegaskan solat mesti dapat mencegah daripada keji dan mungkar. Ramai solat tapi buat perkara mungkar sebab pendidikan tidak ikut cara Allah ajar dalam ayat ini. Sebab kita tak tahu tujuan solat. Hanya tahu solat sebagai rukun Islam.
ذِكْرُ ٱللَّهِ أَكْبَرُ – solat adalah zikir yang paling besar.
Zikir 3 jenis:
1. hati: berfikir tentang kebesaran Allah (Lihat alam, rasa kebesaran Allah)
2. lidah
3. perbuatan
Solat ada ketiga-tiga zikir.
Suatu hari Rasulullah SAW berkata kepada Bilal bin Rabah r.a:
قُمْ يَا بِلاَلُ أَقِمْ فَأَرِحْنَا بِالصَّلاَةِ
Maksudnya: “Bangunlah wahai Bilal, rehatkan kami dengan solat”. (Hadis sahih riwayat Abu Daud, No 4986)
Sifat kedekut, tak tenang, tamak, puncanya adalah solat yang tidak khusyuk. Rujuk surah Al-Ma’arij (70:19-20)
۞ إِنَّ ٱلْإِنسَـٰنَ خُلِقَ هَلُوعًا ١٩
“Sesungguhnya manusia itu dijadikan bertabiat resah gelisah (lagi bakhil kedekut); -“
إِذَا مَسَّهُ ٱلشَّرُّ جَزُوعًۭا ٢٠
“Apabila ia ditimpa kesusahan, dia sangat resah gelisah;”
وَإِذَا مَسَّهُ ٱلْخَيْرُ مَنُوعًا ٢١
“Dan apabila ia beroleh kesenangan, ia sangat bakhil kedekut;”
إِلَّا ٱلْمُصَلِّينَ ٢٢
“Kecuali orang-orang yang mengerjakan sembahyang”
Orang yang paling tenang, ialah Rasulullah. Sebab solat Nabi ialah solat yang betul-betul iqamah.
Dapat nikmat Nabi sedekah – bulan Ramadan lagi laju sedekah.
Ada tak dalam jiwa kita sifat-sifat ini, kedekut, sifat marah? Lihat Surah Al-Muddaththir (74:42-43)
مَا سَلَكَكُمْ فِى سَقَرَ ٤٢
“(Setelah melihat orang-orang yang bersalah itu, mereka berkata): "Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam (neraka) Saqar?"
قَالُوا۟ لَمْ نَكُ مِنَ ٱلْمُصَلِّينَ ٤٣
“Orang-orang yang bersalah itu menjawab: "Kami tidak termasuk dalam kumpulan orang-orang yang mengerjakan sembahyang;”
Yang solat belum tentu masuk syurga. Lihat Surah Al-Ma’un (107: 4-5)
فَوَيْلٌۭ لِّلْمُصَلِّينَ ٤
“(Kalau orang yang demikian dikira dari bilangan orang-orang yang mendustakan ugama), maka kecelakaan besar bagi orang-orang Ahli Sembahyang “
ٱلَّذِينَ هُمْ عَن صَلَاتِهِمْ سَاهُونَ ٥
“(laitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan sembahyangnya;”
Solat macam mana yang diterima Allah? Lihat Surah Al-Mukminun (23:1-9).
1. Khusyuk dalam solat.
2. Menjauhkan diri daripada perbuatan dan perkataan yang sia-sia.
3. Berusaha membersihkan hartanya dengan menunaikan zakat harta itu.
4. Menjaga kehormatannya.
5. Menjaga amanah & janjinya.
6. Tetap memelihara solatnya.
Berjaya - Selamat daripada neraka dan masuk syurga
Khusyuk – asal maknanya tunduk.
Tunduk kepada perintah Allah sepanjang hidupnya.
Kalau di luar solat tak khusyuk, tak mungkin khusyuk, mustahil. Kalau lara di luar solat dalam solat tak akan khusyuk. Sebelum solat hanya fikir dunia, dalam solat tak akan khusyuk.
Tengok kehidupan kita di luar solat. Jangan berlakon di depan Allah dalam solat.
وَٱتَّقُوهُ – dan bertakwalah kepadaNya
Buat apa yang Allah perintah dan tinggalkan larangannya. Quran petunjuk kepada orang-orang bertaqwa.
وَهُوَ ٱلَّذِىٓ إِلَيْهِ تُحْشَرُونَ – Dia lah Tuhan yang kepadaNya kamu akan dihimpunkan (pada hari akhirat kelak).
Antara suasana keadaan di Padang Mahsyar bagi orang yang tidak bertaqwa:
1. Tempoh di Padang Mahsyar – 50 ribu tahun (HR Ahmad No 5642)
2. Berdiri tengah padang pasir dalam banjir peluh.
3. Matahari satu batu jarak (satu mil – satu batu)
4. Tak ada teduhan.
Orang yang bertaqwa, berdiri hanya sekejap di Padang Mahsyar.
7 golongan yang selamat di padang mahsyar:
1. Pemimpin yang adil.
2. Membesar dalam keadaan beribadat kepada Allah.
3. Berzikir seorang-seorang dan menangis.
4. Hatinya bergantung di masjid – Masjid sepatutnya jadi rumah pertama orang beriman.
5. Sedekah secara sembunyi.
6. Dua orang yang berjumpa dan berpisah kerana Allah.
7. Lelaki yang menolak godaan wanita yang muda, cantik dan berharta.
Petunjuk dan Tindakan Beramal
1. Ibadat yag paling utama dan paling asas yang menentukan keislaman seseorang ialah solat. Sesiapa yang mendirikannya dia telah mendirikan agama, dan sesiapa yang meruntuhkannya dia telah meruntuhkan agama.
2. Untuk dapatkan solat yang khusyuk, kita kena kenal Allah dahulu. Kenal Allah yang mencipta tujuh petala langit, tujuh petala bumi, menjadikan pula malam itu gelap dan siang itu terang, menjadikan binatang ternakan untuk kegunaan kita.
3. Semak akhlak, semak solat - Solat mencegah kemungkaran kerana ia adalah zikir yang paling besar.
4. Rehatkan diri dengan solat. Badan perlukan rehat dengan tidur, jiwa juga perlukan rehat dengan solat.
5. Walau sesibuk mana pun kita dengan urusan dunia janganlah dirikan solat hanya cukup syarat untuk menunaikan ibadah yang wajib.
6. Luangkanlah masa, usah tergesa, hayatilah solat seolah-olah kita sedang berbicara dengan Allah SWT. Ukuran kita cinta Allah, bila ibadat kita seronok. Lagi lama lagi seronok. Itu tanda puas dalam ibadat.
7. Jika kita mampu memperbaiki solat, aturan hidup juga akan menjadi lebih baik. InsyaAllah, hati akan tenang, hidup akan lebih bahagia dengan takdir. Kita kena tekankan, tak solat punca manusia tidak tenang yang akan menjadi punca masuk neraka.
8. Bina sifat mukmin.
9. Takwa adalah jalan yang paling selamat! Jalan yang menyelamatkan kita di dunia dan di akhirat! Buat apa yang Allah perintah dan tinggalkan larangannya.
10. Hendaklah kita bersedia untuk kembali kepada Allah! Bersedia untuk dihimpunkan kepadaNya! Jangan leka dengan dunia! Beriman dengan hari akhirat adalah pendorong yang paling kuat untuk manusia beramal soleh. Kita perlu ambil tahu keadaan di padang mahsyar supaya timbul rasa takut.
11. Kita semua akan kembali kepada Allah! Kita akan dihimpunkan kepadaNya pada hari akhirat kelak! Tidak ada satu pun amalan yang dilakukan di dunia melainkan semuanya akan dihisab dan diberikan balasan oleh Allah dengan seadilnya walaupun sebesar zarah.
12. Berusaha membina sifat 7 golongan orang yang selamat di Padang Mahsyar.
13. Buat kerja khalifah dengan jujur dan ikhlas – ingatkan manusia supaya yakin dan Esakan Allah, agar Allah naikkan darjat kita agar dipermudahkan urusan di Padang Mahsyar.
Doa
رَبِّ ٱجْعَلْنِى مُقِيمَ ٱلصَّلَوٰةِ وَمِن ذُرِّيَّتِى ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَآءِ ٤٠
"Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”
Ya Allah bantulah kami untuk bertakwa kepadaMu. Permudahkan urusan kami di Padang Mahsyar.
Wallahua’lam
Rujukan
1. Tafsir Al-Munir
2. Nota MyQuranTime
3. Memahami Al-Quran Petunjuk Kita, Haji Mohamed Ayob Yasin
4. Tadabbur Surah Al An'am Ayat 72-73, Ustaz Abd Muein Abd Rahman
5. Majlis Al-Quran, https://web.telegram.org/a/#-1001134170580